1901–1937: Permulaan Walt_Disney

Zaman kanak-kanak

Walter Elias Disney lahir pada 5 Disember 1901 kepada bapanya Elias Disney yang berketurunan Ireland-Kanada, dan ibunya Flora Call Disney yang berketurunan Jerman-Amerika, di 2156 N. Tripp Ave, Hermosa, Chicago.[3][4] Nenek moyang Walt Disney berhijrah dari Gowran, Kaunti Kilkenny di Ireland. Arundel Elias Disney, moyang kepada Walt Disney, lahir di Kilkenny, Ireland pada 1801. Arundel ialah keturunan Hughes dan anaknya Robert d'Isigny, berasal dari Perancis tetapi berlayar ke England bersama William I pada tahun 1066.[5], maka nama d'Isigny diinggeriskan menjadi Disney.

Pada tahun 1906, ketika Walt berusia empat tahun, Elias sekeluarga berpindah ke ladang di Marceline, Missouri,[6] di mana adiknya Roy baru membeli tanah.[6] Sewaktu di Marceline, Walt mengembangkan minat terhadap seni lukis.[7] Salah seorang jiran keluarga Disney, seorang doktor bersara bernama "Doc" Sherwood, mengupah Walt untuk melukis gambar kuda belaan Sherwood, iaitu Rupert.[7] Beliau turut meminati kereta api di Marceline yang dihidupkan oleh perkhidmatan kereta api Atchison, Topeka and Santa Fe Railway yang melaluinya. Walt gemar mendekatkan telinganya dengan landasan untuk menunggu kereta api datang,[4] lebih-lebih lagi yang dipandu oleh bapa saudaranya, iaitu jurutera Michael Martin.

Keluarga Disney menetap di Marceline selama empat tahun,[8] sebelum berpindah ke Bandaraya Kansas pada tahun 1911,[9] di mana Walt dan adiknya Ruth menghadiri Benton Grammar School, di mana beliau bertemu dengan Walter Pfeiffer. Kelau Pfeiffer merupakan pelakon teater terkenal yang memperkenalkan persada anekarama dan perfileman kepada Walt. Tidak lama kemudian, Walt lebih meluangkan masanya bersama keluarga Pfeiffer berbanding keluarganya sendiri.[10] Pada masa yang sama, beliau menghadiri kursus kanak-kanak Institut Seni Bandaraya Kansas pada setiap Sabtu.[11]

Zaman remaja

Pada tahun 1917, Elias membeli saham di kilang jem O-Zell di Chicago lalu memindahkan keluarganya kembali ke bandar itu.[12] Pada tahun yang sama, Disney mula menimba ilmu di Sekolah Tinggi McKinley dan mula menghadiri kursus malam di Institut Seni Chicago.[13] Disney menjadi seorang kartunis untuk akhbar sekolahnya. Karya-karya kartunnya amat berbau patriotik dengan tumpuannya terhadap Perang Dunia I. Disney tercicir dari sekolah pada usia 16 tahun lalu cuba menyetai Tentera, tetapi permohonnya ditolak kerana tidak cukup umur.[14]

Selepas ditolak oleh tentera, Walt bersama salah seorang kawannya menyertai Palang Merah.[15] Setelah berjaya menyertai Palang Merah, Walt dihantar ke Perancis selama setahun sebagai pemandu ambulans, ketika gencatan senjata baru ditandatangani pada 11 November 1918.[16]

Pada tahun 1919, Walt yang hendak mencari kerja di luar kilang O-Zell di Chicago,[17] berpindah kembali ke Bandar Raya Kansas untuk memulakan kerjaya seninya.[18] Setelah mempertimbangkan sama ada untuk menjadi pelakon atau pelukis, beliau memutuskan untuk melancarkan kerjaya melukis karikatur politik atau komik dalam akhbar. Sayangnya tiada sesiapa yang ingin mengupahnya untuk menjadi pelukis mahupun pemandu ambulans. Mujur abangnya Roy yang bertugas di sebuah bank di Bandar Raya Kansas, mendapatkan kerja sementara di Studio Seni Pesmen-Rubin Art Studio untuk si adik dari rakan sekerjanya.[18] Di Pesmen-Rubin, Disney menghasilkan iklan untuk pihak akhbar, majalah, dan pawagam.[19] Di sinilah beliau bertemu dengan kartunis Ubbe Iwerks.[20] Selepas berakhirnya kerja sementara di Pesmen-Rubin, mereka berdua ketiadaan pekerjaan, lalu memutuskan untuk menubuhkan syarikat sendiri.[21]

Pada Januari 1920, Disney dan Iwerks menubuhkan syarikat "Iwerks-Disney Commercial Artists". Sayangnya, syarikat itu tidak kekal lama, dan Disney beralih ke Kansas City Film Ad Company, kemudian diikuti oleh Iwerks yang tidak mampu mengendali perniagaannya secara bersendirian.[22] Ketika bertugas di Kansas City Film Ad Company, di mana beliau menghasilkan ilkan-iklan beranimasi pepotong, Disney menyuburkan minatnya dalam bidang animasi, lantas ingin menjadi juruanimasi.[23] Beliau dibenarkan oleh pemilik Ad Company, A.V. Cauger, untuk meminjam kamera dari tempat kerjanya untuk kegunaan menguji di rumah. Setelah membaca buku Edwin G. Lutz yang berjudul Animated Cartoons: How They Are Made, Their Origin and Development, beliau mendapati animasi sel lebih cerah bagi masa depannya berbanding animasi pepotong yang dikerjakannya untuk Cauger. Akhirnya, Walt hendak membuka perniagaan animasi sendiri,[24] lalu mengupah seorang rakan kerja dari Kansas City Film Ad Company, Fred Harman, sebagai pekerja pertamanya.[24] Walt dan Harman kemudiannya berjaya berurus janji dengan pemilik pawagam tempatan Frank L. Newman, tokoh yang dikenali sebagai pengusaha hiburan tersohor di kawasan Bandar Raya Kansas ketika itu,[25] untuk menyiarkan siri kartun yang berjudul "Laugh-O-Grams" di pawagam tersebut.[25]

Laugh O'Gram Studio

Newman Laugh-O-Gram (1921)

Dengan tajuk "Newman Laugh-O Grams,"[25] karya-karya kartun Disney menerima sambutan memberangsangkan di kawasan Bandar Raya Kansas.[26] Hasil kejayaan Laugh-O Grams, Disney mampu membeli studio sendirinya[27] dan mengupah ramai juruanimasi, termasuk adik Fred Harman sendiri iaitu Hugh Harman, Rudolf Ising, dan sahabat karib Disney sendiri iaitu Ub Iwerks.[28] Malangnya, disebabkan gaji pekerja yang tinggi menjejaskan keuntungan studio, Disney tidak mampu menguruskan kewangannya dengan betul-betul.[29] Akibatnya, studionya mengalami hutang keliling pinggang[29] lalu muflis.[30] Apapun yang terjadi, Disney berazam untuk menubuhkan studio di pusat industri perfileman, tak lain tak bukan Hollywood, California.[31]

Hollywood

Disney dan abangnya mengumpul duit untuk menubuhkan studio kartun di Hollywood.[32] Perlunya mencari seorang pengedar untuk filem-filem terbarunya Alice Comedies yang mula diusahakannya ketika di Bandar Raya Kansas,[30] tetapi tidak dapat diedarkannya dahulu, Disney menghantar cetakan belum siap kepada pengedar Margaret Winkler di New York. Winkler membalas Disney dengan minatnya untuk mengedarkan filem-filem gabungan aksi sebenar dan animasi karya Disney yang diilhamkan oleh kisah dongeng Alice's Wonderland itu.[33]

Virginia Davis (bintang aksi sebenar Alice’s Wonderland) dan keluarganya berpindah dari Bandar Raya Kansas ke Hollywood atas permintaann Disney, begitu juga Iwerks sekeluarga. Ini menandakan lahirnya Disney Brothers' Studio yang terletak di Hyperion Avenue di daerah Silver Lake sehingga tahun 1939. Pada tahun 1925, Disney mengupah seorang wanita muda bernama Lillian Bounds untuk melukis seluloid animasi. Setelah tidak lama keluar bersama, mereka berdua pun berkahwin pada tahun itu.

Siri terbaru Alice Comedies yang dibintangi oleh Dawn O'Day, Margie Gay dan Lois Hardwick yang bersilih ganti melakonkan watak Alice, berjaya mendapat sambutan penonton. Menjelang penghujung siri itu pada tahun 1927, tumpuan lebih diberikan kepada watak-watak animasi, terutamanya kucing bernama Julius yang menyerupai Felix the Cat.

Oswald the Lucky Rabbit

Menjelang tahun 1927, Charles B. Mintz mengahwini Margaret Winkler lalu mengambil alih pentadbiran perniagaan Winkler, lantas memesan siri animasi serba baru diterbitkan untuk edaran Universal Pictures. Siri Oswald the Lucky Rabbit juga mendapat sambutan hebat, hinggakan watak utamanya Oswald yang direka oleh Iwerks, menjadi tokoh terkenal. Maka berluasnya studio Disney, apabila Walt mengupah Harman, Ising, Carman Maxwell, dan Friz Freleng dari Bandar Raya Kansas.

Pada Februari 1928, Disney ke New York untuk merundingkan kenaikan filem ringkas dari Mintz. Disney terkejut dengan pengumuman Mintz bukan sahaja untuk mengurangkan yuran tersebut malah juga meletakkan kebanyakan juruanimasi terpenting upahan Disney, termasuk Harman, Ising, Maxwell, and Freleng (kecuali Iwerks yang enggan meninggalkan Disney) di bawah kontraknya dan akan membuka studio sendiri sekiranya Disney tidak menerima pengurangan perbelanjaan tersebut. Universal Studios, bukan Disney, yang memiliki cap dagang Oswald, oleh itu boleh menghasilkan filem-filem Oswald tanpa sumbangan Disney. Disney menolak tawaran Mintz lalu kehilangan kebanyakan juruanimasi upahannya.

Setelah ditinggalkan oleh para juruanimasinya, Disney sekali lagi bekerja sebatang kara.[34] 78 tahun kemudian, syarikat Disney berjaya mendapatkan kembali hak milik watak Oswald dari NBC Universal pada tahun 2006.

Mickey Mouse

Rencana utama: Mickey Mouse

Setelah kehilangan hak milik Oswald, Disney merasakan perlunya membangunkan watak baru untuk menggantikan arnab tersebut. Beliau mendapat ilhamnya oleh dari seekor tikus yang pernah dibelanya ketika bertugas di Bandar Raya Kansas dahulu.[35] Ub Iwerks memperhalusi lakaran yang dihasilkan oleh Disney agar mudah untuk dianimasi. Suara dan perwatakan Mickey diihsankan oleh Disney. Menurut kata-kata seorang pekerja Disney, "Ub melukis wajah Mickey, tetapi Walt memberikan jiwanya."[35] Pada mulanya, tikus itu diberi nama "Mortimer", kemudian diganti oleh "Mickey Mouse" oleh Lillian Disney yang merasa nama Mortimer tidak sesuai. Tidak lama kemudian, nama Mortimer dipetik untuk seekor watak tikus yang lebih tinggi daripada Mickey dan menjadi lawan ketat Mickey untuk merebut hati Minnie.

Filem animasi pendek pertama yang menampilkan Mickey merupakan filem senyap berjudul Plane Crazy. Setelah gagal mendapatkan pengedar untuk Plane Crazy atau susulannya The Gallopin' Gaucho, Disney akhirnya menghasilkan kartun Mickey bersuara yang berjudul Steamboat Willie. Seorang ahli niaga bermama Pat Powers menyalurkan khidmat pengedaran dan proses penyegerakan bunyi Cinephone kepada Disney. Akhirnya Steamboat Willie membawa kejayaan,[36] maka filem-filem Plane Crazy, The Galloping Gaucho, dan semua kartun Mickey yang seterusnya dihasilkan dengan runut bunyi. Disney sendiri menyediakan kesan suara untuk kartun-kartun terawalnya serta meminjamkan suaranya kepada Mickey Mouse sehingga tahun 1946. Selepas keluarnya Steamboat Willie, Walt Disney terus berjaya menggunakan bunyi dalam kesemua kartun-kartun selanjutnya, manakala Cinephone turut menjadi pengedar baru bagi karya-karya kartun bersuara Disney yang terawal.[37] Lambat-lain, Mickey mengatasi Felix the Cat sebagai watak kartun paling popular.[35] Pada tahun 1930, Felix, walaupun bersuara juga, pudar dari layar wayang kerana filem kartun bersuaranya gagal menarik perhatian,[38] lantas membuka peluang untuk meninggikan populariti Mickey pada awal 1930-an.[35]

Silly Symphonies

Mengikut jejak langkah siri Mickey Mouse series, munculnya siri kartun muzikal Silly Symphonies pada tahun 1929. Judul pertama dalam siri ini berjudul The Skeleton Dance yang dilukis dan dianimasi sepenuhnya oleh Iwerks, yang juga bertanggungjawab melukis kebanyakan kartun keluaran Disney pada tahun 1928 dan 1929. Walaupun kedua-dua siri disambut baik, namun studio Disney berasa bahawa kongsian keuntungan dengan Pat Powers tidak adil bagi pihaknya,[39] maka pada tahun 1930, Disney berurusan dengan Columbia Pictures. Carl Stalling menggubah skor muzik untuk kartun-kartun Silly Symphony yang terawal.[40]

Iwerks dipikat oleh Powers agar membuka studio sendiri dengan kontrak eksklusif. Kemudian, Carl Stalling turut meninggalkan Disney untuk menyertai studio baru Iwerks.[41] Iwerks melancarkan siri Flip the Frog dengan kartun warna pertamanya "Fiddlesticks," difilemkan dalam Technicolor dua jalur. Iwerks juga mereka dua lagi siri kartun iaitu Willie Whopper dan ComiColor Cartoons. Pada tahun 1936, Iwerks menutup studionya untuk mengusahakan projek-projek teknologi animasi. Iwerks kembali ke pangkuan pada tahun 1940, lalu merintis beberapa proses filem dan teknologi animasi khusus di jabatan penyelidikan dan pembangunan studio Disney.

Menjelang tahun 1932, Mickey Mouse menjadi watak wayang gambar yang amat popular, tetapi Silly Symphonies tidak berjaya menandinginya. Bagaimanapun, pada tahun yang sama, Disney mendambai hasil persaingan dari Max Fleischer iaitu kartun Betty Boop yang semakin popular di kalangan penonton.[42] Fleischer dianggap sebagai pesaing utama Disney pada 1930-an,[43] dan juga bapa kepada Richard Fleischer yang diupah oleh Disney untuk mengarah filem 20,000 Leagues Under the Sea pada tahun 1954. Sementara itu, Columbia Pictures berhenti mengedarkan kartun Disney lalu diganti oleh United Artists.[44] Pada akhir tahun 1932, Herbert Kalmus yang baru selesai mengusahakan ciptaan kamera Technicolor tiga jalur,[45] meminta Walt membikin semula filem Flowers and Trees yang asalnya hitam putih, dengan teknologi Technicolor tiga jalur.[46] Flowers and Trees berjaya menimbulkan fenomena lalu memenangi "Anugerah Akademi untuk Judul Pendek Terbaik: Kartun" yang pertama untuk tahun 1932. Selepas keluarnya Flowers and Trees, semua kartun Silly Symphonies yang seterusnya diwarnakan juga. Disney juga dapat merundingkan urus janji dengan Technicolor selama dua tahun, maka memberikannya hak eksklusif penggunaan Technicolor tiga jalur,[47][48] yang seterusnya dilanjutkan hingga lima tahun.[40] Menerusi Silly Symphonies, Disney turut menghasilkan filem kartun pendek yang paling berjaya sepanjang hayatnya, berjudul Three Little Pigs, pada tahun 1933.[49] Kartun ini ditayangkan di pawagam berbulan-bulan lamanya, dan juga menampilkan lagu terhangat yang menjadi kegilaan orang ramai ketika mengalami Kemelesetan Besar, iaitu "Who's Afraid of the Big Bad Wolf".[50]

Anugerah Akademi Pertama

Pada tahun 1932, Disney menerima Anugerah Akademi khas kerana melahirkan siri "Mickey Mouse" yang mula diwarnakan pada tahun 1935, disusuli siri-siri keluaran sampingan untuk rakan-rakan Mickey seperti Donald Duck dan Pluto mulai tahun 1937,[51] diikuti siri kartun solo Goofy mulai tahun 1939.[52] Di antara semua rakan-rakan Mickey, Donald Duck yang julung kali berpakat dengan Mickey dalam kartun Orphan's Benefit (1934) dikatakan menjadi watak kartun Disney kedua paling berjaya sepanjang zaman.[53]

Rumah tangga

Cubaan pertama pasangan Disney beranak berakhir dengan Lilly mengalami keguguran. Apapun, Lilly berjaya melahirkan Diane Marie Disney pada 18 Disember 1933. Beberapa tahun kemudian, keluarga Disney mengambil Sharon Mae Disney, (lahir 21 Disember 1934) sebagai anak angkat.

Rujukan

WikiPedia: Walt_Disney http://www.mbam.qc.ca/disney/index_en.html http://www.allacademic.com/meta/p114070_index.html http://www.anaheimwalkofstars.com/index.php http://www.animationusa.com/resources/aboutdisney.... http://www.animationusa.com/resources/aboutwb.html http://www.awn.com/mag/issue2.4/AWNMag2.4.pdf http://www.bcdb.com/bcdb/cartoon.cgi?film=15&m=r http://www.britannica.com/eb/article-9096160/Donal... http://www.britannica.com/eb/article-9106382/Fleis... http://www.findagrave.com/cgi-bin/fg.cgi?page=gr&G...